Artikel daripada Blog Ustaz Nor Amin:
Salam bahagia dan salam gembira kepada
semua, semoga iman dan taqwa kita lebih baik grafnya. Soalan pengunjung
yang berbunyi “Di sini ana nak cadangankan kepada ustaz untuk
menghuraikan status anak luar nikah disisi Islam kerana saya rasa
setenggah masyarakat memandang serong terhadap golongan ini. Adakah
gelaran ANAK HARAM sesuai pada mereka padahal mereka lahir diatas
ketelanjuran dan kesilapan mak ayah mereka? Bagaimanakah jika mereka
membesar dan menjadi imam,wali dan statusnya. Tolong ustaz huraikan
status anak ini disisi ISLAM bukan disisi MASYARAKAT?
Jawapannya
Status
anak luar nikah (anak yang tidak sah tarafnya) adalah anak yang lahir
dari hubungan ibu bapa tanpa ikatan pernikahan yang sah dari segi
syariat Islam. Anak tersebut bukan anak haram, bukan najis dan kotor,
sebenarnya anak itu adalah sempurna dan dilahirkan dalam keadaan fitrah
dan bersih tanpa dosa. Bagi saya tidak baik dan tidak patut sangat
menggelar anak tersebut sebagai anak haram. Yang menjadi masalah ialah
hubungan zina kedua ibu bapanya tanpa ikatan perkahwinan. Haram itu
adalah pelakuan ibu bapanya dan bukan anak itu haram.
Firman Allah yang
bermaksud :
“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia Dalam bentuk Yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai Dengan keadaannya).” (At-Tin : 4)
“Dan
Sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri
mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan
Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda Yang
baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka Dengan selebih-lebihnya atas
banyak makhluk-makhluk Yang telah Kami ciptakan.” (Al-Isra : 70)
Hadis Nabi yang bermaksud : “Setiap anak yang dilahirkan adalah fitrah”.
Ketiga-tiga
dalil yang diberikan di atas ini, sangat jelas dan tidak dapat
dipertikaikan bahawa setiap manusia yang dilahirkan adalah dalam keadaan
yang sangat baik dan bukan dalam keadaan aib dan hina sepertimana yang
digambarkan oleh sesetengah pihak terhadap anak-anak luar nikah ini.
Jangan dibinasakan anak tersebut disebabkan anak tersebut luar nikah.
Sepatutnya kita sebagai orang Islam wajib memuliakan antara satu sama
lain, berbuat baik antara satu sama lain kerana ini yang dikehendaki
oleh Islam dan ini juga merupakan sifat Rasulullah saw.
Jangan
kita menghina anak tersebut dan meminggirkannya sehingga dirinya merasa
hina disebabkan salah ibu bapanya. Dosa besar bagi orang yang menaburkan
fitnah dan mengaibkan orang di atas segala dosa yang telah dilakukan
oleh ibu dan bapanya. Dosa ibu bapanya yang lalu biarlah mereka dengan
Allah, kita sebagai umat Islam berdoa kepada Allah mudah-mudahan Allah
mengampunkan segala dosa ketelanjuran mereka dahulu. Sebagai umat Islam
tidak sepatutnya menuding jari kepada sesiapa atas kesalahan yang telah
dilakukan, tetapi sepatutnya mengajak dan memberikan nasihat yang baik
kepada mereka supaya mereka mengerti akan pelakuan mereka itu adalah
salah di sisi syariat dan bersegeralah bertaubat. Sesungguhnya Allah
menerima ampun bagi sesiapa yang bertaubat dengan sebenar-benar taubat
(taubat nasuha).
Anak luar nikah tidak dipertanggungjawabkan atas
kelakuan ibu bapanya yang terlanjur dan tidak boleh kita menuding jari
kepada anak tersebut, dia juga mempunyai perasaan dan mempunyai hati
yang perlu dijaga oleh kita. Setiap amalan kejahatan dan kebaikan adalah
merupakan tanggungjawab individu tersebut dan tidak
dipertanggungjawabkan kepada orang lain.
Firman Allah yang bermaksud :
“Patutkah
manusia menyangka, Bahawa ia akan ditinggalkan terbiar (dengan tidak
diberikan tanggungjawab dan tidak dihidupkan menerima balasan)?” (Al-Qiyamah : 36)
Setiap
anak yang dilahirkan perlu dibimbing dan dididik kearah yang dituntut
dalam Islam, menghantar anak mempelajari ilmu-ilmu agama terlebih dahulu
kerana ini merupakan fardhu ain dan wajib dituntut oleh setiap individu
muslim sebagai panduan hidupnya. Jika anak tersebut menjadi ustaz,
menjadi imam, menjadi muazzin dan sebagainya, maka itu lebih positif dan
bagus kerana anak tersebut merupakan saham kebaikan kepada ibu bapanya
dan sudah pasti anak tersebut akan sentiasa mendoakan kebaikan terhadap
ibu bapanya. Jika anak tersebut mengetahui akan status dirinya adalah
anak luar nikah, saya rasa mungkin anak tersebut menerima kenyataan
dengan redho dan mengetahui ini adalah ketentuan Allah.
Bagaimana
jika anak luar nikah jadi imam di masjid atau di surau? Jawapannya
solat jemaah itu tetap sah jika anak luar nikah itu menjadi imam atas
kelayakkannya, mengikuti krateria-krateria sebagai seorang imam, fasih
bacaannya, sebutan jelas dan tajwidnya betul, maka itu tidak menjadi
masalah dan solat jemaah tersebut sah.
Adakah boleh anak luar
nikah jadi wali kepada adik-adiknya? Jawapannya menurut pendapat ulamak
anak luar nikah tidak boleh dibin atau dibintikan kepada bapanya, kerana
hubungan ibu dan bapanya diluar ikatan perkahwinan yang sah.
Anak luar
nikah ini perlu dibin atau dibintikan kepada Abdullah. Jadi jelas di
sini, bahawa anak tersebut tidak dikira dari darah daging ayahnya. Anak
luar nikah ini tidak boleh jadi wali kepada adik-adiknya.
Adakah
bapa yang melakukan zina sehingga dia dilahirkan itu boleh jadi walinya?
Jawapannya adalah tidak boleh sebab, menurut pendapat ulamak bapak
tersebut tidak sah dan tidak diiktiraf kerana mereka melakukan hubungan
diluar ikatan perkahwinan yang sah.
Maka anak tersebut boleh diwalikan
oleh wali hakim (perkara ini boleh dirujuk kepada bahagian pembangunan
keluarga Islam Jabatan Agama Islam mana-mana negeri dalam Malaysia).
Untuk sebrang persoalan, boleh lawati blog pemilik artikel ini di sini.
info: http://www.ustaznoramin.com
No comments:
Post a Comment