Powered By Blogger

Thursday, July 18, 2013

Status Anak Luar Nikah (Anak Yang Tidak Sah Taraf)

Artikel daripada Blog Ustaz Nor Amin:

Salam bahagia dan salam gembira kepada semua, semoga iman dan taqwa kita lebih baik grafnya. Soalan pengunjung yang berbunyi “Di sini ana nak cadangankan kepada ustaz untuk menghuraikan status anak luar nikah disisi Islam kerana saya rasa setenggah masyarakat memandang serong terhadap golongan ini. Adakah gelaran ANAK HARAM sesuai pada mereka padahal mereka lahir diatas ketelanjuran dan kesilapan mak ayah mereka? Bagaimanakah jika mereka membesar dan menjadi imam,wali dan statusnya. Tolong ustaz huraikan status anak ini disisi ISLAM bukan disisi MASYARAKAT?


Jawapannya

Status anak luar nikah (anak yang tidak sah tarafnya) adalah anak yang lahir dari hubungan ibu bapa tanpa ikatan pernikahan yang sah dari segi syariat Islam. Anak tersebut bukan anak haram, bukan najis dan kotor, sebenarnya anak itu adalah sempurna dan dilahirkan dalam keadaan fitrah dan bersih tanpa dosa. Bagi saya tidak baik dan tidak patut sangat menggelar anak tersebut sebagai anak haram. Yang menjadi masalah ialah hubungan zina kedua ibu bapanya tanpa ikatan perkahwinan. Haram itu adalah pelakuan ibu bapanya dan bukan anak itu haram. 

Firman Allah yang bermaksud :
“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia Dalam bentuk Yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai Dengan keadaannya).” (At-Tin : 4)



“Dan Sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda Yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka Dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk Yang telah Kami ciptakan.” (Al-Isra : 70)

Hadis Nabi yang bermaksud : “Setiap anak yang dilahirkan adalah fitrah”.

Ketiga-tiga dalil yang diberikan di atas ini, sangat jelas dan tidak dapat dipertikaikan bahawa setiap manusia yang dilahirkan adalah dalam keadaan yang sangat baik dan bukan dalam keadaan aib dan hina sepertimana yang digambarkan oleh sesetengah pihak terhadap anak-anak luar nikah ini. Jangan dibinasakan anak tersebut disebabkan anak tersebut luar nikah. Sepatutnya kita sebagai orang Islam wajib memuliakan antara satu sama lain, berbuat baik antara satu sama lain kerana ini yang dikehendaki oleh Islam dan ini juga merupakan sifat Rasulullah saw.

Jangan kita menghina anak tersebut dan meminggirkannya sehingga dirinya merasa hina disebabkan salah ibu bapanya. Dosa besar bagi orang yang menaburkan fitnah dan mengaibkan orang di atas segala dosa yang telah dilakukan oleh ibu dan bapanya. Dosa ibu bapanya yang lalu biarlah mereka dengan Allah, kita sebagai umat Islam berdoa kepada Allah mudah-mudahan Allah mengampunkan segala dosa ketelanjuran mereka dahulu. Sebagai umat Islam tidak sepatutnya menuding jari kepada sesiapa atas kesalahan yang telah dilakukan, tetapi sepatutnya mengajak dan memberikan nasihat yang baik kepada mereka supaya mereka mengerti akan pelakuan mereka itu adalah salah di sisi syariat dan bersegeralah bertaubat. Sesungguhnya Allah menerima ampun bagi sesiapa yang bertaubat dengan sebenar-benar taubat (taubat nasuha).

Anak luar nikah tidak dipertanggungjawabkan atas kelakuan ibu bapanya yang terlanjur dan tidak boleh kita menuding jari kepada anak tersebut, dia juga mempunyai perasaan dan mempunyai hati yang perlu dijaga oleh kita. Setiap amalan kejahatan dan kebaikan adalah merupakan tanggungjawab individu tersebut dan tidak dipertanggungjawabkan kepada orang lain. 

Firman Allah yang bermaksud :
“Patutkah manusia menyangka, Bahawa ia akan ditinggalkan terbiar (dengan tidak diberikan tanggungjawab dan tidak dihidupkan menerima balasan)?” (Al-Qiyamah : 36)

Setiap anak yang dilahirkan perlu dibimbing dan dididik kearah yang dituntut dalam Islam, menghantar anak mempelajari ilmu-ilmu agama terlebih dahulu kerana ini merupakan fardhu ain dan wajib dituntut oleh setiap individu muslim sebagai panduan hidupnya. Jika anak tersebut menjadi ustaz, menjadi imam, menjadi muazzin dan sebagainya, maka itu lebih positif dan bagus kerana anak tersebut merupakan saham kebaikan kepada ibu bapanya dan sudah pasti anak tersebut akan sentiasa mendoakan kebaikan terhadap ibu bapanya. Jika anak tersebut mengetahui akan status dirinya adalah anak luar nikah, saya rasa mungkin anak tersebut menerima kenyataan dengan redho dan mengetahui ini adalah ketentuan Allah.

Bagaimana jika anak luar nikah jadi imam di masjid atau di surau? Jawapannya solat jemaah itu tetap sah jika anak luar nikah itu menjadi imam atas kelayakkannya, mengikuti krateria-krateria sebagai seorang imam, fasih bacaannya, sebutan jelas dan tajwidnya betul, maka itu tidak menjadi masalah dan solat jemaah tersebut sah.

Adakah boleh anak luar nikah jadi wali kepada adik-adiknya? Jawapannya menurut pendapat ulamak anak luar nikah tidak boleh dibin atau dibintikan kepada bapanya, kerana hubungan ibu dan bapanya diluar ikatan perkahwinan yang sah. 

Anak luar nikah ini perlu dibin atau dibintikan kepada Abdullah. Jadi jelas di sini, bahawa anak tersebut tidak dikira dari darah daging ayahnya. Anak luar nikah ini tidak boleh jadi wali kepada adik-adiknya.

Adakah bapa yang melakukan zina sehingga dia dilahirkan itu boleh jadi walinya? Jawapannya adalah tidak boleh sebab, menurut pendapat ulamak bapak tersebut tidak sah dan tidak diiktiraf kerana mereka melakukan hubungan diluar ikatan perkahwinan yang sah. 

Maka anak tersebut boleh diwalikan oleh wali hakim (perkara ini boleh dirujuk kepada bahagian pembangunan keluarga Islam Jabatan Agama Islam mana-mana negeri dalam Malaysia).

Untuk sebrang persoalan, boleh lawati blog pemilik artikel ini di sini.
info: http://www.ustaznoramin.com

Thursday, January 31, 2013

RENTETAN PENGALAMAN DI HARI HARI TERAKHIR SITI HAJAR BINTI AHMAD SABIR

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Assalamualaikum wbt.
Alhamdulillah, segala puji-pujian dirafakkan kehadrat Allah swt. Blog yang telah lama saya tidak update akhirnya diminta isi dengan suatu hikmah yang besar dari seorang mujahidah yang telah pergi ke alam sana. Hasil penulisan ini sesungguhnya ditulis oleh ibunya yang tercinta, ibu kepada al-marhumah Siti Hajar Binti Ahmad Sabir (alfatihah). Semoga kita memperoleh manfaat yang besar dari perkongsian ini. Selamat membaca. 
_________________________________________________________________________________
6 Jan 2013 (Ahad)
Kami dapat panggilan telefon mengatakan Hajar kemalangan. Segera bergegas ke Hospital Besar Melaka. Ramai pelajar UTEM sedia menunggu berita kemalangan itu.

7 Jan 2013 (Isnin)
Hajar dimasukkan ke wad ICU Mawar. Pegawai HEPA UTEM mula membuat lawatan.Doktor mencadangkan pembedahan segera dilakukan. Masalah kewangan mula berbangkit, wang kami  tidak mencukupi’

8 Jan 2013 (Selasa)
Gerakan mengumpul derma utk pembedahan Hajar berjalan lancar. Pembedahan dilakukan pada pukul 1 tengahari. Pukul 6 ptg, pembedahan selesai.

9 Jan 2013 (Rabu)
Kesihatan Hajar baik sebelah pagi tapi merosot sedikit menjelang petang. Tekanan darah mula turun, lalu ubat untuk menaikkan tekanan darah segera diberikan. Muka dan badan mula sembab sebab dah 2 hari hanya drip air tanpa makanan. Sebelah petang, susu disalurkan ke perutnya melalui tiub. Walaupun tulang belakang telah di betulkan kedudukannya, saraf tunjang tetap telah tercedera dan kita menunggu dan berharap kekuasaan Allah Ke atas Hajar berkat doa semua sahabat di dalam dan di luar negara.

10 Jan 2013(Khamis)
Selepas Subuh tadi,  kami lawat dia dan bacakan ayat2 suci dan syifa’. Dia tenang je.Kami berbual. Memang dia tak gelak tapi matanya lebih bermaya. Kami ceritakan tentang  kawan2 yang datang, yang berkirim salam dan sebagainya. Memang dia tak dapat lawan bergurau, ketawa besar macam biasa tapi dia dengar kami tu pun dah cukup. Langsung tak tunjuk airmata pada dia. Kami usap tangannya, usap pipi dan dahi berkali2 dan bercakap dengan nada yang ceria juga. Tak boleh nak pandang dia dengan mata sayu, cakap dengan suara sebak..tak boleh. Kalau kita positif, kita ceria, aura kita berpindah kepadanya.

Ramai yang bersimpati dengannya lalu mencadangkan pelbagai bentuk rawatan pemulihan. Ada yang mencadangkan pergi kepada sekian-sekian dukun patah jika Hajar telah keluar dari Hospital nanti. Ada juga peniaga air yang menawarkan sebotol air pada harga RM25, dan menjanjikan penyembuhan dalam 10 minit sahaja. Hajar senyum . Pesannya, dia tidak mahu apa-apa rawatan yang menggunakan perantaraan jin dan hanya mahukan perubatan Islam. Dia rela lumpuh seumur hidup atau sanggup mati, asalkan tidak mensyirikkan Allah.
11 Jan 2013 (Jumaat)
Doktor dah benarkan makan bubur. Kami sudukan dengan sup ayam, sup sayur, ikan dan buah2an. Minum air zam zam pakai straw. Memang haus betul dia. Berkat air terbaik di atas mukabumi, dia segera nampak bertenaga. Menitis airmata sahabat2 melihat dia telah makan. Berebut2 mereka nak tolong layan Hajar. Suasana ceria berlanjutan dengan cerita2 lucu mereka.
Solat Hajat dilakukan di merata tempat dari sebelah malam hingga ke siangnya.UTeM sendiri menganjurkan solat hajat di Masjid, melibatkan kerjasama BADAR dan Majlis Perwakilan Pelajar . 
                                   
Lawatan  Naib Canselor, memberikan suntikan semangat luarbiasa kepada Hajar. Dia ingin sembuh. Dia ingin kembali belajar. Dan dia dijanjikan pelbagai kemudahan pembelajaran jika dia sihat dan masih berminat menuntut ilmu.
Sedikit jangkitan kuman mula dikesan di paru-paru menyebabkan pernafasannya tidak stabil.

12 Jan 2013 (Sabtu)
Doa dan kata-kata peransang tak henti2 masuk ke  telefon untuk memberi semangat kepada Hajar. Kami  perlu kuatkan pernafasannya. Latihan pernafasan mula diberikan supaya oksigen banyak masuk ke badan dan dia dapat melawan kuman2 yang datang menyerang. Hasilnya, kedua dua tangan dah boleh diangkat tinggi. Selepas ini, kami nak teruskan dengan latihan menggenggam. Semua ini menyakitkan, kerana itu motivasi dari sahabat2 amat diperlukan. Peranan saya sebagai ibu adalah untuk mengukuhkan keimanannya dan meletakkan pergantungan harapan sepenuhnya pada Allah.
Sebelah petangnya, Hajar di keluarkan dari ICU Mawar dan diletakkan di wad D3.

13 Jan 2013(Ahad)
Akhirnya berbekalkan sedikit kekuatan yang diberi oleh Allah, saya terangkan situasi sebenar, kesan kemalangan itu kepada Hajar. The whole truth. Dan sebagai hambanya yang patuh, dia Redha dengan apa saja Qada dan QadarNYA. Pendapat doktor itu berdasarkan pengetahuan manusia. Yang mana ia hanya ibarat setitik air di lautan yang luas. Terlalu kecil kemampuan manusia berbanding dengan kekuasaan Allah itu sendiri. Baginya hidup mesti diteruskan, ada banyak lagi nikmat tuhan yang sedang dinikmatinya. NIKMAT TUHAN YANG MANAKAH YANG KAMU DUSTAKAN?
Setiap hari Allah menuntut perjanjian kita dengannya sebelum kita dilahirkan. Iaitu untuk mengakui DIA itulah tuhan kita yang layak disembah. Dia yang maha berkuasa, yang memiliki segala2nya. Sedang kita inilah si fakir yang tak punya apa2…dan sentiasa meminta2 darinya. Kalau dah lidah kita mengakui Allah itu maha berkuasa, maka ikrarkan pula dihati..yang DIA mampu mengubah nasib Hajar lantas menyembuhkannya sekalipun.

Takada rahsia lagi.  Dia dah tahu dirinya lumpuh sementara. Dah tahu situasi tulang belakangnya, saraf tunjangnya yang cedera dan juga pembedahan yang telah dilaluinya. Tanpa setitik airmata, tanpa keluhan, tanpa menyesali nasib, tanpa mematahkan semangatnya untuk terus hidup, katanya kalau mak dan ayah boleh redha, dia juga akan redha. Banyak lagi tanggungjawab untuk digalas, ramai lagi diluar sana yang perlukan bimbingan dan kerana Allah masih selamatkan nya, dia akan bersyukur. Pasti ade hikmahnya.

Malam itu, sedang saya membacakan ayat2 suci kepadanya, dia kata “Mak dengar tak tu? Suara seruan tu?” Saya terdengar seruan bersahut2an dua atau tiga kali dari arah yang tak pasti. “Orang azan kot” tingkah saya. Dia jawab “mana pulak, azan mana ada SUBHANALLAH.. orang tu sebut SUBHANALLAH berkali2. Akak dengar, Cuba tengok jam, bukan masa azan, kan?.”akuinya penuh jujur. Saya rasa berdebar, “Selalu ke akak dengar?” “Selalu gak, entah siapa lah yang jerit tu gaknya…” jawabnya naif’

14Jan 2013 (Isnin)
Sebelah siang Hajar demam.Batuk2 Kecil, Menjelang maghrib, cuaca sejuk, batuk makin memberat. Demam semakin tinggi mencecah 39C. Selsema, kahak tersumbat di saluran kerongkong dan belakang hidung. Hajar semakin lemah. Apabila pernafasan tersekat,Hajar menggelepar mencari nafas. Doktor segera bertindak bila kami menjerit meminta bantuan kecemasan  diberikan dengan menyedut kahak menggunakan mesin penyedut. Tiup dimasukkan ke saluran kerongkong dan saluran hidung. Prosedur yang menyakitkan dan tidak selesa. Tapi masih tak banyak membantu, selsema mengalir lagi, dan kesejukan malam menyebabkan hidung  tersumbat semula. Kami disuruh keluar semasa bantuan kecemasan itu. Keadaan agak membimbangkan. Kami berdua berusaha menolong dengan membacakan ayat2 suci dan zikir2. Menjelang  tengah malam barulah dia bernafas selesa dan tidak mencungap cungap lagi. Keletihan  yg teramat sangat..tetapi bersyukur terselamat dr situasi bahaya. Stabil.

Bila dah tenang, Hajar bercerita semula, semasa doktor membantunya dan kami memohon bantuan Allah, pertolongan tersebut telah datang. Bagaimana? Secara tiba2 dia sendawa berkali kali. Dan setiap kali angin sendawa itu keluar, terasa hidung yg tersumbat tidak tersumbat lagi dan dia boleh bernafas dgn selesa. Kemudian, dia terasa mukanya dipercikkan air 3 kali. Air yang sgt sejuk dan selesa. Dia yang sedang demam panas dan terasa muka berbahang, tetiba rasa sangat selesa dan demam mula menurun.SUBHANALLAH.

Hari dah jauh malam, suami saya nak pulang menjaga anak2 yang lain di rumah. Suami beritahu Hajar, dengan cepat dia jawab “Ayah percaya Allah tak?”jawab suami”Percaya”. Tambah Hajar lagi, “Kalau percaya pada Allah, ayah baliklah..Allah ada jaga akak kat sini.”Sesekali dia tersenyum manis. Kami tanyakan” kenapa senyum?” Dia jawab…”ada bau wangi sangat”.” Selalu ke akak terbau macam tu?”Jawabnya, “Kadang2 aje, kadang2 masa nurse datang, kadang2  waktu sahabat ziarah” Hati kami mula rasa sesuatu. Suami saya tak jadi balik. Kami berdua tertidur kepenatan menemani dia malam tu. Dipihak dia pula, terasa sangat aman dan damai. Malam yg sejuk dirasakan nyaman. Langsung tak rasa lapar dan dahaga. Menurutnya, sepanjang malam, dia memerhatikan kami berdua tidur dan mensyukuri apa saja nikmat yang sedang dinikmatinya.
15 Jan 2013 (Selasa)
Sebelah pagi Hajar masih tak bermaya. Semakin naik matahari, hidung semakin kurang tersumbat dan kesihatan mula beransur baik. Perjuangan untuk hidup diteruskan lagi. Bila demam berkurangan, Hajar akan kembali ceria, makannya akan berselera, makan pudding, bubur, sup ayam dan buah2an.. Rakan2 pun gembira melayan kerenah dia. Bila dia sebut teringin makan pisang…tetiba ada saja tetamu yang bawakan. Dia duduk tapi kepalanya agak senget - masih tak boleh kawal gerakan kepala. Spontan dia kata, “Kalau ade bantal kecil, boleh letak kat leher”  lalu Allah perkenankan hajatnya. Bantal yang diidamkan dibawa oleh sahabat yang prihatin pada hari yang sama hajatnya diutarakan. (KUN FAYAKUN)

Tekak Hajar masih terasa sakit – perit. Mungkin sebab guna tiub penyedut kahak sebelumnya. Jadi ubat demamnya perlu dihancurkan dan dijadikan larutan. Saya bancuhkan paracetamol dengan sedikit air zam zam. “Akak, ingat ye, ubat ni alat je, Allah yang menyembuhkan” Dia angguk. Ubat di sudukan ke mulutnya. Pahit. Kecil matanya. Segera saya berikan air zam zam untuk diminum. Lepas itu dia tanya, “Air ape tadi?”. “Ehh..air zam zam lah, mana ade bagi air lain.” Dia senyum lagi. Saya tertanya2. Dia kata “Allah tolong akak, ubat tu memang pahit, tapi bila minum air zam zam tu, rasa macam air tu manis, ia basuh semua rasa pahit dilidah akak, Esok mak cubalah” Macam mana ni….nak percaya tak?

Malamnya, dia kena makan ubat lagi. Tanpa gentar, dia menelan ubat pahit tu dan tinggalkan sedikit untuk saya. Nekad untuk menyampaikan dakwah, saya telan baki ubat itu. Memang pahit. Dan bila air zam zam diminum, rasa pahit itu hilang tak berbekas. Seperti lumpur di lantai yang tertanggal semuanya bila air disiram kepadanya.
Kemudian dia mula bertanya bagaimana dia nak  solat dalam keadaannya seperti itu. Saya terkedu. Telefon terus saya capai, meminta bantuan ilmu dari rakan2 yang lebih arif. Dan seperti dijangka, apa yang dimintanya, mudah benar utk Allah tunaikan. Ade saja sahabat yang prihatin dan sudi menolong.

Bila Doktor pelatih datang untuk mengambil sampel darah, Hajar menangis. “Akak dah lemah, makan pun tak seberapa, mana nak ada darah banyak. Doktor asyik ambil darah..tangan doktor tu besar,kematu, tak sensitive. Tangan akak kecil, Sakit tau ditampar2 tangan akak, dicubit2…dah tak jumpa urat darah tu, tak yah lah ambil darah. Akak tak nak doktor tu lagi”. Sayu hati mendengar rintihannya, tapi macamana? Mana boleh pilih2 doktor. Tapi Allah maha mendengar, esoknya doktor lain pula mengambilalih.

16 Jan 2013(Rabu)
Usai solat subuh, saya dapati Hajar mengadu sakit perut. Macam kembung. Perut mula membengkak dan bergerak2. Saya sapukan sedikit minyak angin dan bacakan rukyah. Dia terasa nak muntah. Ya memang.. dia betul betul muntah. Berlambak2 muntah air hijau keluar dari mulutnya. Kami beri air zam zam kerana muntah tersebut memahitkan tekak. Tapi muntah berterusan…lagi…. lagi… dan lagi…”Akak tak nak pelawat hari ni”. Dan tengahari itu, memang takada pelawat yang datang.

Menjelang maghrib, dia suruh ayahnya solat. Kemudian saya pula disuruh solat. Saya katakan, “nanti siapa nak tolong bersihkan muntah? Mak solat lewat sikitlah…Dia jawab  “Allah ada, Allah boleh bantu akak.” Terkedu. Saya pun tinggalkn dia untuk solat. Ayahnya pula pergi menjemput adiknya di Malacca Central. Selesai solat, saya dapati nurse sedang membersihkan Hajar. Bajunya yg terkena muntah digantikan. Kemudian dia kata, “Haa..kan betul akak cakap, Allah ada bantu akak. Mak pergi je, akak muntah, tapi nurse yg sedang rawat makcik kat sebelah tu ternampak akak muntah dan dia datang bantu.

Sepanjang malam, adik Hajar, Nabilah, saya dan suami saya hanya menadahkan kain menahan muntah hajar. Muntah…minum lagi…dan kemudian muntah semula. Bila reda sedikit, kami mula berbicara. “Akak, Nampak gayanya macam perut akak dah tak terima lagi air yang kami beri. Mungkin rezeki minuman akak dah habis. Mak bagi air untuk basah tekak je, tapi untuk menghilangkan dahaga, akak mohonlah rezeki dari  Allah.

Ayahnya pula kata “Akak, kalau akak dipanjangkan usia, ayah akan belikan computer yg lebih ringan untuk akak, sesuai dgn kemampuan akak menggunakannya. Tapi kalau usia akak tak panjang, akak jangan sedih sebab akak akan dapat syahid dunia. Pujuk ayah lagi, “Akak, bila dajjal keluar nanti, orang2 yang beriman takkan dapat bekalan makanan sebab tak mahu sembah dajjal. Mereka akan berzikir sahaja, dan Allah cukupkan rezeki mereka. Mereka tak rasa lapar dan dahaga, Akak zikirlah ye”. Angguk.

Walaupun perbualan itu amat menyentuh hati, tapi masih tak mampu menggugurkan air matanya. Dia kata” Kalau mak dan ayah dah redha, takde sebab untuk akak tak redha. Kalau Allah izinkan akak hidup lagi, walau mcmana pun rupa akak waktu tu, akak akan berdakwah untuk beritahu orang tentang adanya pertolongan Allah, besarnya kekuasaan Allah. Mak tulis ye, biar tak lupa . Nanti akak sendiri yang akan ceritakan. Tapi kalau umur akak tak panjang, emak ceritakanlah bagi pihak akak”

Untuk adik2nya, dipesankan agar ubah penampilan berpakaian. Untuk rakan2, dia minta maaf dan memberikan kemaafannya kepada mereka. Adik2 dipujuk agar pakai jubah2 dan tudung dia yang banyak. Dia turut beritahu minta digantikan puasanya dan uruskan solat yg tertinggal sepanjang dia berada dihospital tu.  Ada beberapa hutang kecilnya minta dilunaskan.

Kami tanya lagi. “ susah ke rasanya nak muntah tu tadi?” Jawabnya, “Taklah, senang je, Allah tolong.” “Tolong macamana?” tambahnya “Dah badan akak tak boleh keluarkan air2 kotor tu dgn cara biasa, Allah tolong keluarkan melalui muntah. Tak susah pun, rasa macam meludah je” MASYA ALLAH. Hajar sentiasa kaitkan apa saja yang dialaminya dengan Allah. Sentiasa berbaik sangka  Allah menolongnya. Benarlah seperti hadis qudsi,  Allah bertindak mengikut sangkaan hamba terhadapNYA. Jika kita yakin Allah menolong kita, maka Allah akan tolong.
Keputusan Xray menunjukkan perut dan usus besar membengkak teruk.

17 Jan 2013(Khamis)
Situasi kritikal. Tak mahu pelawat lagi. Doktor sedang cuba menyelamatkan . Perut membengkak terus. Usus besar tidak menyalurkan najis dengan sempurna. Menurut doktor semuanya ada kaitan dengan saraf tunjang yang gagal menghantar arahan ke anggota badan.  Ultrasound pula  diambil.  Hajar tenang. Berserah pada Allah menentukan yang terbaik untuknya.

Selepas waktu melawat tengahari, demam memburuk semula. Perut yang membengkak menyukarkan pernafasan. Doktor mula gelisah. Satu tiub dimasukkan ke perut melalui hidung bagi menyedut cairan di dalam perut. Lebih 1Liter cairan dikeluarkan. Hajar diarahkan berpuasa sehingga punca pembengkakan itu diketahui.

Demam lagi. Saya sudukan juga tiga sudu air zam zam ke mulutnya dari masa ke semasa. “Akak, jgn bimbang, kita orang  Islam dah dilatih berpuasa. Redha ya .. mak bagi air zam zam ni hanya utk basah tekak, memang tak sempat sampai ke perut pun ia akan kering sendiri. Mintalah Allah hilangkan dahaga akak” . Dalam keletihan beliau jawab, “beratnya dugaan Allah ni , mak..” “memanglah…kan syurga Allah tu mahal harganya…sabar  ya.. Nabi Ayub dulu pun diuji dengan berat” Dia angguk.. Doktor pasang drip…Dalam hati, saya tak putus2 membacakan ayat2 suci dan selawat untuk menolong beliau melalui kesukaran itu.

Menjelang asar, Hajar mula rasa bahang. Dia minta dimandikan. Panasnya kuat dibahagian dada. Dan terasa semua badan sakit2. Saya terdiam. Saya rasa, dia dah mula nak nazak. Waktu tu saya berdiri membelakangkan tingkap. Dia suruh saya beralih kedudukan. Dia nak pandang keluar tingkat. Saya tanya , nak tengok apa? Katanya : nak tengok Allah. Saya terkedu lagi. Katanya :” Allah marah sebab tak dakwah sungguh2. Tak mahu cari jalan lain, bila dakwah terhalang.” Saya jawab “Mintalah ampun dan banyakkan beristigfar pada Allah,” Angguk.Tak lama lepas tu, dia kata, matanya dah mula kabur. Saya membisikkan agar dia terus mengingati Allah. Angguk.Dalam termengah2 dia berkata”mak, izinkan akak pergi dulu, tapi akak tak nampak jalan” “ Ya, mak izinkan, mak doakan agar Rasulullah datang tunjukkan jalannya. Sekali lagi dia mengejutkan saya, bila dia kata dia dah tak boleh nampak, lalu bola matanya bergerak ke atas. Segera saya talkinkan berulang kali. Doktor dan  nurse mula berkejar datang nak menyelamatkan. Saya disuruh keluar. Mereka mula memasang topeng oksigen,dan  menaikkan tekanan darah.

Hati saya dah sebu. Saya tahu tadi tu Hajar dah nazak. Persiapan dibuat utk pindahkan Hajar ke ICU semula. Waktu maghrib tu, kami berkejar kejaran tolak  katil Hajar ke ICU okid.

Hajar segera dibius dan getah saluran pernafasan dipasang ke mulutnya. Mesin pernafasan mengambilalih proses pernafasan. Itulah kali terakhir untuk dia berkata kata kerana selepas itu dia terus ditidurkan dan tak bangun2 lagi.

18 Jan 2013Jumaat)
Kami dimaklumkan ada air yang banyak diluar perut dan sekitar usus. Dikhuatiri usus Hajar telah bocor. Menjelang waktu azan zohor, untuk solat jumaat, jantung Hajar berhenti berdenyut. Doktor segera melakukan CPR. (Satu. Dua, Tiga, Empat, ……)saya nampak prosedur tu dr luar cermin biliknya. Hati saya terguris teruk…cpr dilakukan di dada, betul2 di atas kawasan pembedahan tulang belakangnya. Kalau dia selamat sekalipun, apa nasib tulang belakang tu, kan baru je lepas dibedah.
Walaupun jantung dapat digerakkan kembali, namun jantung Hajar hanya bekerja 1% sementara mesin pernafasan yg bekerja  lagi 99% .Hakikatnya carta pernafasan di paparan skrin tu terasa semacam gimik.

19 Jan 2013 (sabtu)
Doktor pakar usus mengesahkan usus Hajar bocor dan perlukan tembukan kecil diperut untuk mengesahkan teori beliau. Sekiranya benar, pembedahan yang lebih besar diperlukan utk memotong usus yang bocor itu dan mencantumkan semula. Serentak dengan itu, kami diberi borang kebenaran  pembedahan untuk ditandatangani. Semuanya atas nama nak menyelamatkan nyawa Hajar. Kami buntu. Suami meminta tempuh untuk bertenang dan berfikir. Kami perlu solat. Kami perlu berfikir dengan tenang. Kami mohon pertolongan melalui pertolongan Allah. Pukul 2 pagi, kami dipanggil semula. Terdesak, kami benarkan tembukan dilakukan diperut. Hanya pada Allah kami bermohon pertolongan dan petunjuk.

Belumpun sempat selesai pembedahan kecil itu, seorang lagi doktor memanggil kami. Berita besar yang disampaikan, buah pinggang Hajar tidak berfungsi sepenuhnya atau lebih tepat lagi..dah rosak dan perlukan dialysis darah. Hajar takkan boleh bertahan kalau darahnya tak dicuci kerana toksin dalam tubuh akan meningkat dan meracuni organ2 yang lain. Terdiam. Bermimpikah kami? Lepas satu, satu, organ badannya merosak. Namun begitu, dialysis tidak boleh dilakukan dengan selamat kerana keadaaan Hajar yang tidak stabil. Jantungnya dah pernah berhenti, dan boleh berhenti lagi semasa dialysis. Darahnya dah terlalu cair..dah lama tak makan. Pendarahan juga boleh berlaku kerana tekanan darah yang rendah. Jadi apa yang boleh kami perbuat? Sesudah berbincang, kami ambil keputusan tidak membenarkan cuci darah dijalankan kerana risikonya besar.

Tak lama lepas tu, pakar usus pula mengesahkan yang usus Hajar memang benar2 bocor dan pembedahan besar diperlukan. Kami tanya, adakah Hajar stabil untuk dibedah? Jawapannya TIDAK.Kami Tanya adakah masalah usus itu boleh selesai selepas pembedahan tersebut? Jawapannya. TIDAK PASTI MASALAH SAMA TAKKAN BERULANG LAGI. Lalu kami berikan jawapan yang paling selesa bagi kami iaitu tidak membenarkan sebarang pembedahan dilakukan lagi. Kami juga tidak membenarkan prosedur cpr dilakukan jika jantung terhenti lagi.

Doktor bercakap dengan berhati2. “Kalau itu keputusan Puan, Puan sedarkah apa akibatnya nanti?” Saya jawab, “ya, saya sedar, saya akan kehilangan anak saya, dan saya redha. Malah, kalau boleh , saya nak segala ubat dan mesin pernafasan dihentikan” Doktor menjawab, “Itu tak boleh, menyalahi etika, itu seperti membunuh pesakit. Kami tak boleh membunuh pesakit, tapi kalau Puan tak mahu lakukan semua yg kami dah cadangkan, mesin pernafasan tetap perlu terus dihidupkan. Cuma pesakit takkan mampu bertahan lama kerana toksin yang tinggi akan meracun dirinya sendiri.

Selepas itu, doktor terus mengawasi Hajar, dan pelawat telah dibenarkan menziarah tanpa had masa kerana Hajar hanya menunggu masa untuk pergi meninggalkan kita semua. Semua keluarga telah dimaklumkan, Hajar tak putus2 diziarahi oleh sahabat2 yang mengenali dan bersimpati. Masing2 ingin menatap wajahnya untuk kali terakhir
20 Jan2013 (Ahad)
Pagi itu kami berdua khusyuk dlm doa masing masing, hanyut dalam munajat kami kepada Allah memohon bantuan dan keringanan untuk sakaratul maut anak kami.Tepat jam 9.20 pagi, Hajar melepasi sakaratulmaut dan meninggal dunia dengan tenang dalam dakapan ibu dan restu ayah. Pergilah sayang, TUHANMU yang lebih menyayangimu telah menunggu. Terima kasih YA ALLAH kerana telah meminjamkan kami anak yang sebaik ini. 20 tahun kami berbahagia dengan kehadirannya.Terima kasih kerana menganugerahkan akhlak yang mulia terhadap anak kami ini. Kini kami kembalikan ia kepadaMU YA ALLAH.Dakapilah ia dengan limpahan rahmat kasih sayangMU yang maha Agung. Amin.. amin..amin..ya rabbal alamin.

Siti Hajar selamat dikebumikan di kampung keluarganya dengan lancar.Begitu ramai sahabat, pensyarah, pegawai university dan saudara mara hadir memberikan lawatan terakhir, memandikan, menyembahyangkan dan mengkebumikan beliau. Seluruh alam seakan turut bersedih dan merintih kerana kehilangan seorang mujahidah sejati. Cuaca mendung berterusan dari pagi hingga ke petang,( tetapi tidak pula hujan), turut menyentap  tangkai hati insan2 yang jujur menyayanginya
SITI HAJAR 
                                                                                                                
Engkau bermula dengan sengsara
Dalam mencari bahagia
Terasa bagai bayang bayang
Gelap walau di suluh cahaya
Pepasir pantai pun berubah
Pabila HAKIKAT melanda
Ketenangan yang kau cari
Terpancar di lorong sufi
Kelunakan tangisan kasihmu
Dalam simpuhan ketaatan
Bagi mengharapkan keredhaan
Darimu TUHAN pencipta Alam
Sungguh agung pengabdianmu
Kau berjaya menjadi iktibar
Ayuh bersama kita susuri
Perjalanan kekasih Allah 


dipetik dari mujahidah2u

Sunday, December 30, 2012

I-City, bertukarlah kau jadi kebun kelapa sawit

Aku marah dan aku tak boleh tidur. Aku sampai I-City pukul 9 malam, dan aku pulang pukul 11.30 malam. Selama 2 jam setengah, adalah masa masa yang aku menyirap, aku menggeleng, aku merenung tajam, dam aku luka jiwa raga.

Aku kena main dan aku kena tipu.

Pakcik dan makcik dari kampung juga ditindas, dan ditipu secara professional. Dirompak duit poket mereka secara 'as per term and condition', juga yang paling memilukan..dibunuh harapan dan kegembiraan mereka dengan begitu saja.

Sebelum aku bercerita, hendak aku terangkan, bahawa berkira, kedekut dan bersikap fak pada harga yang tak sepatutnya adalah tiga (3) perkara berbeza. Mari aku bentangkan perbezaannya.

Kalau engkau membebel seperti ini;
"Kedai mamak Khalifa nasi putih ayam goreng dengan sayur RM3.50, mamak Mosen benda sama sampai RM3.60. Padahal kedai mamak sama je, bukan ada bagi service GRO pun mamak Mosen ni".

Yang perangai atas ni, nama dia kau berkira.

Kalau engkau membebel seperti ini;
"Makan nasi putih ayam goreng, dengan sayur RM3.50. Cehh mahal! Ahh aku makan nasi putih dengan telur goreng je lah, baru RM1.80. Sama je, kennyang jugak"

Yang perangai atas ni, nama dia kau kedekut.

Namun, kalau engkau membebel seperti ini;
"Makan nasi putih ayam goreng dengan sayur kat Khalifa sampai RM10.50??, Makahaaiii mampus la kau cekik darah, syaitaan!"

Yang perangai atas ni, nama dia..kau bersikap fak pada harga yang tak sepatutnya.

Contoh 1 dan contoh 2, adalah masalah sikap. Tidak ada kena mengena dengan masyarakat sekitar. Pergi mati lah dengan perangai berkira dan kedekut kau. kau komplen kau bangang.
Contoh 3 adalah masalah penindasan. Ya. Kau ada upaya menindas dengan licik dan kemas. Setengah orang berkata, "Ahhhh duit banyak RM10.50 pun nak bising..dah makan bayar je laaa". Puiii puii puiii pada kumpulan ini.
Bukan isu duit banyak yang aku persoalkan dalam contoh 3. Yang aku persoalkan adalah isu patut ke tak patut? kalau patut, RM100 pun aku bayar, tapi kalau tak patut, sekupang lebih pun aku mesti mengamok punya.

Bila kau orang dah faham perbezaan situasi kat atas, baru kau orang mudah nak faham marahnya aku dengan I-City malam tadi.
Ya. Aku rasakan, aku dikenakan harga yang tidak patut untuk secebis keseronokan keluarga yang tak setara mana. Lagi pedih, bila kumpulan manusia yang ramai berpusu ke situ terdiri dari kumpulan pakcik makcik dari Kokdiang, Gua Musang, Felda Chenor, Padang Melangit dan Mersing. Mereka ini membawa ahli keluarga, anak anak kecil, sanak saudara dan mungkin anak anak jiran yang teringin menumpang bercuti ke kota. Mereka ini, dari riaknya..bukanlah semuanya berpangkat pegawai, jauh sekali memiliki harta berjuta, mereka ini semuanya rakyat marhein, yang bercita nak mengembirakan keluarga dengan membawa mereka berjalan ke sini, ke I-City.

Sebelum aku teruskan, mungkin aku boleh katakan yang i-City ni dibuat untuk pelancongan domestik. I-City pada telahan awal aku adalah tempat rakyat jelata menikmati keseronokan, dengan maksud, kerajaan (samada pusat atau negeri) atau syarikat yang menyelenggara mengenakan caj yang berpatutan dan tidak misleading. Sebaliknya aku salah, pakcik makcik juga salah. i-City rupanya bercita cita besar untuk memebelikan kereta Ferrari spider untuk setiap ahli lembaga pengarahnya.

Mari aku ceritakan celakanya.

Yuran entry, selepas 7pm, RM10. Ini aku boleh terima. Normal dan tiada yang aneh.

Ok sekarang, tempat paling attractive di I-City, namaya SNOWALK. Idea SNOWALK ni nak bagi rakyat Malaysia merasa hidup di Iceland.
Nak masuk sorang kena bayar dalam RM35-40 dewasa. Aku masuk ber empat semua sekali RM120. Ini pun, aku boleh terima lagi masa bayar sebab aku syak mestila SNOWALK ni power betul, boleh imitate almost exactly Iceland, atau Alps setidaknya. So RM120, setel..ready to rock in!.
Wooo..bila aku dah masuk, rupanya kena rilek dulu, kena ambil jaket (ini masuk pakej, mujur). Lagi, yang pakai selipar, kena sewa kasut, beli stoking, beli sarung tangan (sewa ke beli atau dah tak peduli sebab masa ni aku mula menyirap). Aku cakap pada fateem, faseeh dan cikgu, kita masuk je dengan kasut yang sedia ada. Walaupun subconscious mind aku tahu yang kasut si fateem dan faseeh ni tak boleh bertahan dalam cuaca Iceland, tapi hati aku yang memberontak ni menghalang dari pegi sewa atau beli. Bukan sebab aku berkira, atau aku kedekut, tapi aku fikir..kalau I-City tahu stoking, sarung tangan dengan kasut Pua Chu Kang ni adalah dresscode sewajarnya, kenapa kau tak caj aku RM200 awal awal tadi? lepastu kau bagi aku kasut, stoking dengan sarung tangan terus, nampak tak sekarang? kalau aku dah bayar sekali, lepastu aku kena bayar lagi dan lagi, itu pada aku adalah perangkap dan penipuan.

Denga berat hati, aku dan ahli keluarga melangkah masuk, elok gaya nak masuk, brader jaga pintu spund cikgu, "handbeg tak boleh bawak masuk". Aku balas balik dengan sabar,"handbeg nak kena letak mana?". "Dalam locker kat sana", brader ni balas tenang. Aku suruh cikgu pergi setelkan handbeg dia, dan teruskan bersabar. Selang beberapa minit, cikgu datang balik pada aku, lalu dia tanyakan benda yang bikin aku lagi menyirap, "ada duit kecik? locker tu kena bayar". Dekat stage ni, aku geleng kepala. Aku dah tahu semua yang akan aku lalui lepas ni dalah mengkaya rayakan pemilik I-City, secara langsung membunuh jiwa aku dan pakcik makcik yang mengharapkan secebis gembira berjalan ke sini.

Dalam kabin SNOWALK, boleh aku simpulkan, macam kau duduk dalam peti ais tempat beku. Ada igloo, ada lampu lampu, ada sedikit gelongsor ais. Aku tak nak komen apa yang dia sajikan sebab mungkin itu idea sebenar I-City, tapi aku fikir they can do much more better. Dan bila aku marah, aku akan jadi detail, "is this the best they can offer?". Aku mula nampak hal hal yang kacau fkiran aku, kenapa takde salji? kenapa takde paramedik standby kat luar kalau anak anak aku kena frostbite? kenapa kabin ni takde seni, kompressor aircond merata rata, beam beam dan structure bangunan obviously there, sebijik macam kau jalan kat carpark cuma bezanya kau sejuk. Kenapa jaket yang dia bagi ni zip rosak, butang rosak? kenapa tak banyak variety? kenapa tempat kecik?
Nampak, benda ni patutnya senang, tapi bila aku dah mula kacau bilau dari awal, semua aku tengok salah. dan yess memang overall SNOWALK sucks big time.

Aku keluar dari SNOWALK bila faseeh menangis sebab tak tahan sejuk ais banyak masuk dalam kasut dia. Bila aku sampai kat luar, aku tengok ramai yang menggigil sejuk, kasut yang sewa tadi semua bukak. kaki mereka aku tengok merah. Temperature terlebih sejuk ke aku tak tahu. Aku tak pernah pegi Iceland, Alps pun aku tak pernah pegi, aku tak tahu sejuknya macam mana. Lantaklah!

Aku cuba bertenang, dan melepak dekat patung zirafah. fateem dengan faseeh nak main keretapi, kapal dan wheel apa benda entah. Aku tengok kawasan permainan ni semua berkumpul di satu port. Dalam kepala aku fikir macam ni, aku beli tiket sekali masuk, say RM20 sorang, atau berapa berapa lah, lepastu boleh main freeflow. Pergi matiii dengan fkiran aku, I-City lagi pandai korek duit dengan menggadai perasaan kesian mak ayah pada anak anak.

Ada 6-8 jenis permainan, dia caj RM5/person untuk satu game. Ada 2-3 game yang RM10/person. Beli tiket pakai macam smartcard. Kiranya kalau baar RM50, pakaila kad tu sampai habis. Bodo anak aku 2 orang sekali naik keretapi yang pusing tak sampai 5 round, tak sampai 5 minit in fact, aku kena bayar RM10. (RM5/person). Itu yang RM5, yang game RM10 pulak, baraaii!. Setengah jam, RM50 gone. Come on what kind of pleasure the kids will have for half an hour?
Dalam hal ni, kau orang kena clear standpoint aku. Aku tak bercakap untuk aku saja. Aku bercakap untuk orang lain, yang mungkin bajet mereka lagi kurang tapi dah terperangkap. Apa yang terperangkap? Kau bagitau anak anak kau nak datang I-City, mereka happy, bila dah sampai..pehh ambik beratus nak kena keluar. Takkan dah kat situ kau nak cakap kat anak anak kau "Janganlah..mahal lah".
yang aku cerita keretapi 5 minit tak sampai tu apply pada semua game. Aku rakam fateem dan faseeh naik keretapi tu exactly less than 4 minit.

Kau orang sabar. Aku belum habis lagi ni.

Berbalik pada hal permainan. Masa di kaunter, dekat depan kaunter, clearly stated "RM5/person" untuk game game yang disenaraikan. Macam aku bgtau tadi, ada setengah game" RM10/person". Isu kedua timbul bila faseeh dinafikan hak untuk bermain kapal apa benda entah sebab tinggi dia tak lepas benchmark. Ohhhh yang ini aku betul betul fak!. Aku tarik faseeh keluar, sambil kepala aku cuba rasionalkan situasi. Exactly belakang faseeh, ada sorang budak perempuan, tinggi dia siiikiiittt je lagi nak sampai benchmark, terus budak lepas SPM yang jaga entrance reject suruh keluar. WOW! for God sake faseeh dan budak perempuan dah beratur 15 minit semata mata nak main, when they turn come, kau just suruh keluar sebab tak lepas height?
Ayah perempuan tu cuba slowtalk dengan budak jaga entrance, kesian aku tengok orang kampung sorang sini, kesian lagi aku tengok anak dia yang terkebil kebil tak dapat main. Sabar aku hilang bila budak yang jaga tadi jawab endah tak endah dengan ayah budak perempuan tu. Sabar aku diakhiri dengan makian orang putih ditengah khalayak orang ramai. Aku tak boleh kontrol sebab aku kesian betul dekat faseeh, lagi aku kesian dekat budak perempuan yang terkecil kebil kecewa tu.

Aku ajak ayah budak tadi pergi kaunter. Sampai di kaunter aku bagitau yang "kenapa masa beli tiket you tak cakap budak budak ni ada height limit?"
Pehhh makwe kaunter tu bagi jawapan bijak,"Kat atas kan ada beritahu" sambil dia tunjuk kat atas dinding (kau kena dongak kalau nak baca satu satu) ada A4 beberapa keping yang beritahu game game yang ada height limit, dan Yes, font dia aku tengok macam font 14 atau paling besar 16.
Lalu aku khutbah pada dia, kenapa dekat depan kaunter ni tak tulis pulak? dan kenapa kau, sebagai penjual tiket yang tahu permainan ni semuanya untuk budak budak tak beritahu awal awal "encik, untuk game ni game game ni, budak bawah 120cm tak boleh main", kenapa kau tak buat? kau harap orang baca benda info yang berselerak, dalam keadaan orang ramai, nak cepat, nak bagi budak budak seronok. Ni sama la macam jual buah Strawberry kat petaling street letak sigboard besar RM5. Mindtrick, sebab by default orang ingat sekilo RM5, orang tak banyak tanya terus mintak sekilo. Hahh ambik kau rupanya RM5 ni untuk 100gram. Tulisan 100gram ni kecik halus je dia letak tepi RM5. Memang ada point yang ko salah sebab tak teliti, tapi dalam masa yang sama, kau rasa kena tipu tak? sebab dalam keadaan sibuk, orang ramai berpusu, berapa kerat manusia je boleh bagi attention to detail?. Ini nama dia manipulation.

Dan akhir sekali, smartkad tu, kalau kau tak habis main, duit dalam tu banyak lagi, kau boleh refund RM5 sahaja. Maknanya, katala duit dalam tu ada lagi RM30, tapi anak kau dah mengamuk nak balik, atau tiba tiba dia sakit perut kena bawak ke hospital. Burnlah duit tu. Unless kalau kad tu boleh bawak balik dan esok kau datang lagi sambung pakai, itu aku tak tahu lah boleh ke tidak. Tapi berapa ramai pakcik makcik Kokdiang nak datang balik esoknya semata mata nak habiskan baki duit RM30?
Nampak tak macam mana orang kampung kena main?

Aku dah tak larat nak menulis. Lama dah aku tak menulis panjang.
Kesimpulan yang aku boleh bagi;
Aku berharap, I-City ni, kau bertukarlah menjadi kebun kelapa sawit.

kredit kepada FdausAmad

Saturday, November 12, 2011

11.11.11... ada apa dgn tarikh nie?

Assalamualaikum dan Salam 1 Malaysia...

Em berbalik kepada tarikh d atas, ada apa dengan tarikh ni yer? Ini mungkin kerana sudah banyak berita dan peristiwa negatif yang telah berlaku pada 11.11 ni. Apapun yang terjadi, semua berbalik kepada kekuasaan Allah SWT.. Semua yang berlaku mengikut kehendak-Nya.

Walaupun begitu, hari ini juga telah berlakunya kemalangan maut di Lebuhraya Utara-Selatan yang mana telah berlakunya kemalangan bas persiaran dari Perak ke Kuala Lumpur yang membawa rombongan sekolah telah terbalik dekat Slim River. Al-Fatihah kepada yang telah meninggal dunia.
Wassalam...

p/s: tahu berita tu pun sbb tgk tv kejap td.. hehe

Tuesday, November 1, 2011

Sudah sebulan rupanya...

Assalamualaikum... dan salam 1 Malaysia...

Pejam celik pejam celik, rupa-rupanya sudah sebulan berlalu. Cuti semester pun dah nak habis. Keputusan peperiksaan juga akan diumumkan hujung minggu ni. Tiap hari saya asyik fikir, boring berada di rumah tanpa buat apa-apa. Tapi, seminggu dua lagi kuliah akan bermula kembali. Ah, cepatnya! Tapi itulah realitinya. Masa cepat berlalu tanpa menunggu kita. Itulah masa ibarat emas, masa yang berlalu tak akan dapat diganti. Mengenai programming, sudah lama saya tidak mencubanya semula. Hari demi hari, saya semakin banyak belajar cara pengaturcaraan yang semakin kompleks. Semakin banyak kita belajar, semakin banyak yang kita tidak tahu. Itulah hipotesis dalam hidup kita. Itulah realitinya.

p/s: menaip pagi-pagi (pkl 4.45pg) ni best jugak kan... :)

Tuesday, September 27, 2011

Apabila lama tidak menulis...

Assalamualaikum dan salam 1 malaysia...

Sudah lama saya tidak update blog ni. Maklumlah, guna facebook aje, semua boleh buat.. post, komen, upload gambar, main game, guna apps dan lain2.. Saya juga sibuk dengan final exam yang sedang berjalan sekarang. Setakat hari ini, syukar kehadrat Illahi kerana 4 subjek telahpun selesai. Tinggal 2 subjek lagi pada minggu hadapan, Discrete Math dan Akaun.


Kehidupan di UiTM...

UiTM? Tidak terasa seperti belajar pun. Seperti ke kelas tambahan saja. Maklumlah, pagi, masuk kelas. Habis kelas, terus balik. (tu la, dekat sgt dengan rumah...) Kadang kala, tidur di kolej aje, kalau malas nak balik. Bilik ada, tapi tak pernah tidur di bilik pun. Apa2 hal, terus ke bilik kawan. Tidur, rehat, ape2 ajelah.

Setakat ini dulu untuk kali ini. Jumpa lagi!

p/s: buat blog sambil2 belajar mmperbaiki kemahiran penulisan :)

Friday, August 12, 2011

Data – Ku Menanti Ku Menangis

Menangis ku menangis pilu hatiku
Menangis ku menangis tak siapa yang tahu

Menangis ku menangis
Tangisan ini padamu kasih
Menangis aku menangis
Saat kau pergi tinggalkan diri ini


Di saat engkau pergi aku menanti
Menanti ku menanti dikau kembali
Mengharap kasih yang tak pasti
Cinta yang suci
Di mana janji kasih sejati
Kau tinggal pergi

Merana aku dalam sengsara
Cinta yang dusta jangan berpura-pura

Biar ku derita
Biar ku merana
Biar ku kecewa
Asal kau bahagia

Menangis ku menangis pilu hatiku
Menangis ku menangis tak siapa tahu

Mengharap kasih yang tak pasti
Cinta yang suci
Di mana janji kasih sejati
Kau tinggal pergi

Kau tinggal pergi
Kau tinggal pergi

Monday, July 4, 2011

Puisi terbaru A Samad Said: Peludah Warna July 2, 2011

PELUDAH WARNA
Kuasa gusar kini menggelegak murka;
warna kuning diisytihar racun terbisa.
Diragutnya baju-T segeram tenaga
dan diumum itulah busana bahaya.
Tapi, kita jahit semula perca kain,
menjadikannya panji terindah dan tulen
Warna kuning yang teramat tenang dan syahdu
kita kembalikan damai ke dalam qalbu.
Kini cahaya mentari mungkin diramas
dan sinar kuningnya juga mungkin dicantas.
Memanglah mereka kini peludah warna
sedang menghimpun lendir kahak sebanyaknya.
Kerana nikmat amat lama berkuasa,
kuasa pun seolah menjadi hartanya.
A. SAMAD SAID

Sunday, June 12, 2011

Cara menyempurnakan Solat Sunat Taubat

Seperti yang pernah disiarkan oleh blog — justkhai.com beberapa minggu lalu, kami di Oh! Islam menyiarkan’nya kembali bagi memudahkan anda membuat rujukan. InsyaAllah suatu hari nanti, semua orang Islam akan memerlukan ini.

Sumber rujukan: Solat Taubat (Panduan Penjernihan Jiwa)
Muhammad Isa Selamat

Penulis telah memetik artikel ini daripada laman web oh! Islam
http://ohislam.com/cara-menyempurnakan-solat-sunat-taubat/
ALLAH swt sentiasa memerintahkan kita supaya bertaubat, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang sebenar.” (At-Tahrim: 8.)

Allah telah membuka pintu harapan kepada hamba-hambaNya: “Katakanlah; wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampunkan dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Az-Zumar: 53)




Syarat-syarat taubat :
  1. Ikhlas ingin bertaubat
  2. Tidak akan mengulangi perbuatan dosa itu lagi
  3. Menyesal atas perbuatan yang telah dilakukan
  4. Harus mempunyai tekad di dalam hati tidak akan melakukan dosa itu untuk selama-lamanya
  5. Dikerjakan sebelum ajal tiba
Jika salah satu syarat tidak dipenuhi, maka taubat yang dilakukan itu tidaklah sah. Jika dosa berkaitan dengan manusia yang lain, maka syaratnya ditambah lagi, iaitu harus dapat membebaskan diri dari hak orang yang berkaitan. Contohnya jika hal itu berbentuk harta, harus dikembalikan. Jika berbentuk hukuman, ia harus menyerahkan diri mohon dimaafkan. Jika hal berupa cacian dan sebagainya, maka ia harus memohon keredhaannya.

Waktu melaksanakan taubat :
Taubat tidak boleh diundur-undur atau ditunda. Kerana jika demikian ia sangat berbahaya bagi hati manusia. Jika tidak segera menyucikan diri sedikit demi sedikit, maka pengaruh dosa itu akan bertompok-tompok, dan akhirnya akan merosakkan hati sehingga tertutup dari cahaya kebenaran.
Di antara penyebab yang akan membangkitkan jiwa bertaubat seseorang itu adalah jiwa yang selalu mengingati hari kematian dan hidup bersendirian di dalam kubur. Kata-kata mati adalah sesuatu yang sangat menakutkan kebanyakan manusia. Mati beerti berpisah dengan segala yang disayangi atau dicintai. Hari terputusnya segala nikmat. Sedangkan berpisah sebentar sahaja dengan anak atau isteri, dapat mengalirkan air mata kesedihan, apa lagi berpisah untuk selamanya
Firman Allah: “Sesungguhnya kamu akan mati dan sesungguhnya mereka akan mati pula.” (Az-Zumar: 30)
Di samping mengingat tentang azab penderitaan yang bakal dihadapi oleh orang-orang yang berdosa mengingat kenikmatan syurga yang bakal ditempati oleh orang-orang yang soleh juga akan dapat membangkitkan keinginan jiwa untuk melakukan taubat dengan segera.

Cara melaksanakan solat taubat :
Cara melaksanakan solat taubat ini sama dengan solat biasa, iaitu setelah berwuduk dengan sempurna, lalu berdiri di tempat yang suci, menghadap kiblat;
  • Waktu di lakukan – bila-bila masa merasa telah berbuat dosa (kecuali waktu makruh tahrim utk melakukan solat)*. Sebaik-baiknya 2/3 malam (pukul 2 pagi ke atas), semasa Qiyamullail
  • Lafaz niat: “Sahaja aku mengerjakan solat sunat taubat dua rakaat kerana Allah Ta’ala.” (Cukup di dalam hati, ada perbahasan ulama’ tentang lafaz niat dlm ibadah – sila rujuk kpd pakar feqah)
  • Rakaat pertama membaca (disunatkan membaca doa Iftitah) kemudian surah Al-Fatihah. Selepas itu mana2 ayat atau surah dalam al-Quran.
  • Rakaat kedua membaca surah Al-Fatihah. Selepas itu mana2 ayat atau surah dalam al-Quran.
  • Semasa sujud akhir rakaat kedua, ucapkanlah Doa Nabi Yunus sebanyak 40 kali (bersungguh-sungguh di dalam hati memohon keampunan dari Allah Ta’ala),

Ertinya: “Tidak ada Tuhan selain Engkau. Maha Suci Engkau Ya Allah, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim.”

  • Selepas salam, perbanyakkan istighfar seperti,   
 



 Ertinya: Ampunilah hamba Ya Allah. Tuhan yang Maha Agung. Tiada Tuhan yang lain melainkan hanya Engkau. Dialah Tuhan yang Maha Hidup lagi Maha Perkasa dan hamba bertaubat kepada Engkau ya Allah.


  • dan berdoa dengan Penghulu Istighfar,
  
Ertinya: “Ya, Allah Engkaulah Tuhanku, Tidak ada Tuhan selain Engkau, Engkaulah yang menjadikan aku. Sedang aku adalah hamba-Mu dan aku di dalam genggaman-Mu dan di dalam perjanjian setia ( beriman dan taat ) kepada-Mu sekuat mampuku. Aku berlindung kepada-Mu dari kejahatan yang telah ku lakukan. Aku mengakui atas segala nikmat yang telah Engkau berikan kepada ku dan aku mengaku segala dosaku. Maka ampunilah aku. Sesungguhnya tidak ada yang dapat mengampuni segala dosa kecuali Engkau.”

 

Saturday, June 4, 2011

Hambamu - Mawi ft. Akhil Hayy

Owh ho..
Owh ho..

Mawi:
Ke arah satu perjalanan
Dalam sebuah kehidupan
Demi untuk mengecapi
Hasrat murni di dalam hati

Akhil Hayy:
Usaha dengan doa itu
Masanya akan tiba
Dengan restu Illahi
Kelak pasti akan ditemui

(dua-dua)
Suluhkan cahaya hati di terang
Tunjukkan jalan
Seandainnya hilang
Tegakkan perjalanan
Yang bakal ditempuh

Tegakkan semangat bila runtuh,
Setibanya disisimu ku berserah,
Terimalah aku
Hamba mu Allah

Owh ho owh ho
Hambamu Allah…..

Mawi:

Sekiranya takdir menguji
Cekalkan hasrat dihati
Semoga kesusahan bisa
Mengajar erti terus azam

Akhil Hayy:

Usaha dengan doa itu
Masanya akan tiba
Dengan restu Illahi
Kelak pasti akan ditemui

(dua-dua)
Suluhkan cahaya hati di terang
Tunjukkan jalan
Seandainnya hilang
Tegakkan perjalanan
Yang bakal ditempuh

Tegakkan semangat bila runtuh
Setibanya disisimu ku berserah
Terimalah aku
Hamba mu Allah